Anak yatim Haiti sasaran penyeludup

Wednesday, January 27, 2010

Kanak-kanak yatim piatu akibat gempa bumi dahsyat di Haiti termasuk yang terpisah dari ibu bapa mereka, berdepan ancaman besar penyeludup kanak-kanak atau pengambilan anak angkat tidak sah, kata kerajaan dan kumpulan bantuan.

Mereka bimbang penyeludup keji mungkin cuba mengeksploitasi keadaan huru hara dan kacau bilau sosial selepas gempa 12 Januari lalu untuk menyeludup bayi tidak berdaya keluar dari negara miskin itu menerusi lapangan terbang atau menyeberangi sempadan ke Republik Dominika.

Sebuah badan kebajikan kanak-kanak Haiti di daerah Delmar 31 di sini berkata, ia mengenal pasti 3,000 kanak-kanak terdedah bahaya.

Ada kanak-kanak itu menyertai kumpulan pencuri minggu lalu, memecahkan kedai untuk mencari makanan dan barangan untuk dijual, kata Alveus Prospere, presiden Organisasi kebajikan 'Better Future for Children'.

Ramai yang lain dibawa saudara mara atau jiran yang tinggal di kem sementara sedangkan makanan tidak mencukupi, katanya.

Satu unit polis ditugaskan untuk melindungi golongan bawah umur sudah menghantar pegawai ke sempadan namun pihak berkuasa berkata seperti juga institusi Haiti lain, unit itu ada masalah besar selepas gempa mengorbankan kira-kira 120,000 orang dan mungkin ramai lagi.

"Kami amat bimbang semakin banyak laporan kanak-kanak diambil dan diseludup keluar," kata Kent Page, jurucakap Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef). Namun, beliau tidak mempunyai perincian kes khusus.

Pihak berkuasa juga bimbang bahawa kumpulan bantuan sah menghantar anak yatim gempa bumi ke negara asing sebagai anak angkat sebelum usaha mencari ibu bapa mereka dihentikan.

Akibatnya, kerajaan Haiti minggu lalu menghentikan pengambilan anak angkat seperti itu. "Tidak syak lagi, organisasi bukan kerajaan atau institusi pelbagai jenis mengambil kanak-kanak di jalanan untuk dijadikan anak angkat dan berkata mereka bukan anak yatim," kata Perdana Menteri, Jean-Max Bellerive.

Belum ada bilangan perangkaan kukuh mengenai anak yatim dan kanak-kanak berisiko hilang. Kanak-kanak yang lapar dan tidak berumah yang menjaga diri sendiri di bandar ini adalah sesuatu yang biasa.

Kira-kira 700 kanak-kanak yang hilang hubungan dengan ibu bapa ketika gempa didaftarkan dan diletakkan dalam kem dan usaha menemukan mereka sedang dijalankan, kata Unicef.

Sebuah badan kebajikan Kristian Amerika Syarikat, 'For His Glory Outreach', menghantar 80 kanak-kanak Haiti ke Amerika Syarikat, Sabtu lalu, untuk diserah sebagai anak angkat dan merancang mengambil 29 lagi beberapa hari lagi.

� Reuters

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI