Remy Ishak dah bosan

Monday, December 21, 2009

Kalau mereka kata saya jahat, penipu, pemutar belit cerita, pukul perempuan, biarlah... saya sudah malas mendengarnya.

“Yang penting, orang di sekeliling saya, kawan rapat dan keluarga kenal serta tahu siapa saya,” kata pelakon, Mohammad Zalimie Ishak atau Remy Ishak, 27, yang dituduh memukul pelakon remaja, Ummi Nazeera Nur Hidayah, baru-baru ini.

Menurutnya, jika dia didakwa menjadi ‘kaki pukul’, kenapa Ummi masih mengirim SMS dan menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar dan memintanya tabah hadapi dugaan.

“Jika benar saya mengasari Ummi seperti didakwa oleh keluarganya, mengapa hingga kini Ummi masih menghubungi dan SMS saya. Malah, ada antara kandungan SMS yang dikirim berbunyi “Saya akan ke luar negara, tak sedih ke?



“Setiap hari dia menghubungi saya sama ada melalui panggilan telefon mahupun SMS dan semua SMS itu masih disimpan untuk dijadikan sebagai bukti jika ada pihak masih mempertikaikan dan tak puas hati.

“Tolonglah Ummi, jangan ganggu hidup saya lagi. Saya mahu hidup normal seperti dulu tanpa gangguan. Saya tidak mahu memanjangkan cerita ini lagi kerana takut akan mengaibkan keluarganya dan biar peminat yang menilai kerana mereka lebih kenal siapa saya sebenarnya,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Remy, dia juga pelik apabila dimarahi Ummi kerana tidak menjawab panggilan telefon kerana menyangka sudah ada pengganti teman wanita.

Remy diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai pengakuan saksi, Susi Sumarni, 24, terhadap kes pergaduhan bintang utama teater Natrah itu dengan aktres remaja terbabit, 4 Disember lalu.

Susi yang juga pembantu rumah kepada pelakon remaja berkenaan tampil membuat pengakuan kepada ibu mangsa, Datuk Maziah Musa, kerana ingin menjelaskan kedudukan sebenar kejadian yang berlaku di bawah kondominium di Jalan Ampang.

Pelakon popular itu berkata, dia tidak terkejut sebab Ummi sudah memberitahu mengenai perkara berkenaan.

Remy turut menjelaskan, dia cuma mempertahankan diri kerana orang ramai tidak tahu keadaan sebenar Ummi ketika kejadian terbabit.

“Walaupun Ummi berdiam diri tetapi dia memberi kebenaran kepada saya untuk bercerita hal sebenar kepada media. Namun lain pula jadinya apabila dia mengamuk dan marah tak tentu pasal apabila berita saya diserang sekumpulan lelaki di Istana Budaya tersiar membuatkan saya keliru dengan sikapnya.

“Apa yang saya beritahu kepada media adalah keadaan sebenar dan saya tak berniat memburukkan Ummi dan keluarganya. Itu pun masih banyak perkara yang saya simpan kerana tidak mahu mengaibkan mereka.

“Mereka kata ada bukti, tak mengapalah dan tunjukkanlah. Saya akui, saya tiada bukti untuk membuktikan saya tidak bersalah. Saya serahkan semuanya pada kuasa Allah.

“Cukuplah setakat ini kerana saya ingin beri tumpuan pada karier. Saya tidak mahu bercakap lanjut kerana takut akan mengaibkan keluarga sana dan biar peminat menilai,” katanya.

Menyentuh surat terbuka daripada ibu Ummi yang die-mel kepada media, Datuk Maziah Musa, Remy berkata, dia belum membacanya.

Bagaimanapun, apabila wartawan Metro Ahad membacakan isi kandungan surat berkenaan kepada pelakon itu, dia menyangkal dakwaan menyebut isu dua darjat dan kaki pukul yang dinyatakan oleh ibu Ummi.

“Saya tak pernah menggunakan isu dua darjat untuk meraih simpati mana-mana pihak sebab ramai sedia maklum status saya yang jauh beza dengan dia.

“Namun, saya tolak perkara itu ke tepi. Yang saya tahu, status ‘dua darjat’ ini diperkatakan orang lain, dan mereka yang sibuk bercakap mengenai perkara itu. Sebetulnya, saya tidak pernah bangkitkan isu dua darjat ketika kami berkawan dulu,” katanya.

Menyentuh laporan polis dibuat Ummi, Remy berkata, dia bersedia menghadapi apa saja keadaan tetapi cuma tidak tahan menerima fitnah dan berhadapan dengan situasi, apatah lagi melihat reaksi kesedihan ibunya.

Oleh ISMA ISMAIL, HIDAYATUL AKMAL AHMAD dan SAKINI MOHD SAID

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI