Astro Box Office siar Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza

Tuesday, December 22, 2009

Membuka tirai menyambut 2010, Astro dengan bangganya membawakan siaran langsung gabungan bersejarah dua gergasi seni buat pertama kali iaitu Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza dari Esplanade, Singapura secara eksklusif pada 1 Januari depan, jam 8 malam menerusi Astro Box Office Events (saluran 955).

Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events untuk menyaksikan konsert ini pada harga tambahan RM10. Siaran ulangan konsert itu akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pencapaian dan kejayaan mereka dalam mengharumkan nama negara serta mengangkat martabat industri seni hiburan ke peringkat yang lebih tinggi adalah sesuatu yang amat membanggakan.

“Sebagai memenuhi janji kami kepada para pelanggan untuk terus membariskan program siaran Astro yang bermutu tinggi dan mempunyai pengisian yang padat, kami berbesar hati membawakan konsert terbabit yang menggabungkan dua nama besar iaitu M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza secara langsung dari Esplanade, Singapura.

“Kehebatan dua ikon seni ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Oleh itu, kami percaya konsert ini mampu memberi impak yang mendalam serta dapat memberikan pengalaman menonton yang mempesonakan,” katanya.

Tiket Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di Singapura ini sudah habis dijual dalam masa seminggu saja dan tidak semua peminat berpeluang untuk menyaksikan konsert hebat gabungan dua gergasi seni negara ini berikutan faktor lokasi dan kapasiti tempat yang terhad serta harga tiket yang agak mahal.

“Sehubungan itu, kami di Astro ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama menyaksikan konsert gabungan paling bersejarah dan menakjubkan ini terus di kaca televisyen dengan hanya RM10 saja. Kami percaya dengan harga serendah ini dan kelebihan untuk menikmati konsert bertaraf dunia di kediaman sendiri pada waktu yang fleksibel adalah suatu pengalaman menonton yang amat sempurna.

“Inilah tawaran istimewa buat pelanggan Astro yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada kami. Kami juga berharap dengan adanya paparan konsert ini menerusi pakej Astro Box Office Events, ia dapat memberi kesempatan kepada peminat yang tidak berpeluang untuk menyaksikan pesona dua jiwa dan dua suara ini beraksi secara langsung di atas pentas merasai sendiri pengalaman menonton seolah-olah turut berada di Esplanade, Singapura,” katanya lagi.

Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, pelanggan Astro boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau menerusi SMS dengan menghantar teks ABOMSAKTINo.IC dan hantarkan ke 32888. Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan bermula 22 Disember ini dan ditutup pada 10 Januari 2010.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI