Drama Bersiri Kapten Kit

Tuesday, November 24, 2009

Menyedari penonton kini inginkan olahan segar untuk drama bersiri, maka TV3 sekali lagi mempersembahkan sebuah drama baru untuk sasaran umum iaitu Kapten Kit di slot Aksi. Drama terbitan Ace Motion Pictures dan diarah pengarah tersohor Aziz M Osman bakal mempamerkan keistimewaan di kaca televisyen tidak lama lagi. Ia juga dapat menambat hati penonton yang cintakan alam sekeliling dengan aksi hebat serta lincah.

Kapten Kit membariskan pelakon baru yang ingin mengasah bakat dan sekali gus menggilap nama mereka dalam industri iaitu Asry Azizan (Sulaiman), Azie Yahya (Tini), Puteri Fatin Nasuha (Sofia), Munir (Yahya), Qazem (Nash) dan Kishz (Naidu). Turut serta mewarnai drama sensasi ini adalah pelakon yang berpengalaman iaitu AR Badul (Datuk Jay). Kapten Kit ke udara di slot Aksi setiap jam 9 malam setiap Isnin mulai semalam.

Kapten Kit drama 13 episod mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mengisahkan seorang jejaka bernama Sulaiman yang cintakan alam persekitaran dan telah mencipta pelbagai peralatan dari barang kitar semula untuk menentang mereka yang cuba memusnahkan alam sekitar. Drama ini juga mempunyai begitu banyak mesej positif yang dapat memupuk minda anak muda untuk memperkenalkan dan memartabatkan budaya sihat seperti mengitar semula dan menjaga alam persekitaran.

Kisah ini bermula dengan sisa toksik dari makmal Datuk Jay yang dibuang ke dalam longkang bawah tanah dan telah menyebabkan penyebaran penyakit merbahaya yang boleh mengubah karakter seseorang menjadi ganas. Tini, ketua Unit Penyakit Merbahaya, mengetuai unitnya untuk menyiasat dan mengkaji punca dan seterusnya mencari penawar kepada penyakit itu.

Pencariannya membawa kepada perkenalan dengan Sulaiman, watak utama cerita ini di mana beliau seorang yang genius dalam bidang kejuruteraan dan pencinta alam sekitar. Masa terluangnya mencari barangan untuk dikitar semula dan menjadikannya satu perniagaan yang menguntungkan. Dia juga telah mencipta sut khas bernama Hijau yang dapat meningkatkan kekuatannya sebanyak 10 kali ganda untuk memudahkannya mengangkat barangan berat dan melakukan pelbagai kerja lain.

Seterusnya diperkenalkan pula watak seorang psikik muda iaitu Sofia yang sangat diminati Sulaiman dan dua penjahat iaitu Johny dan bosnya, Nash, yang menjadi penggerak kepada aktiviti wang haram. Drama ini banyak memuatkan erti kemanusiaan terutama nilai hidup masyarakat serta menyelitkan kekalutan cinta di antara watak. Paling utama, mesej pelestarian alam sekitar tanggungjawab semua dimasukkan untuk diterap oleh semua rakyat Malaysia. Kesedaran dan komitmen untuk sama-sama berganding bahu adalah amat penting supaya kita dapat merealisasikan impian untuk hidup di bumi yang bebas dari pencemaran.

Memang tidak dinafikan lagi bahawa drama hebat penuh aksi ini mempunyai keunikan tersendiri untuk memberi impak yang besar kepada penonton setia TV3. Bagaimanakah kesudahan kisah ini?

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI