Kisah Rasul: Bani Israel asal daripada keturunan Nabi Ishak

Wednesday, October 07, 2009

Kisah Rasul: Bani Israel asal daripada keturunan Nabi Ishak

"MAKA apabila ia meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain dari Allah itu, Kami kurniakan kepadanya Ishak dan Yakub; dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat nabi." (al-Quran, surah Maryam:49)

Nabi Ishak a.s adalah putera kedua Nabi Ibrahim a.s selepas Nabi Ismail.

Baginda adalah hasil perkongsian hidup Nabi Ibrahim dengan isteri pertamanya, Sarah.

Nabi Ishak lahir ketika ibunya berusia 90 tahun dan bapanya berumur 100 tahun.

Sarah sebelum itu mandul dalam tempoh agak lama sehingga mencadangkan suaminya berkahwin dengan hambanya, Hajar (ibu Nabi Ismail).

Malah, apabila mengetahui beliau bakal memperoleh anak, Sarah berasa sungguh hairan, seolah-olah suatu yang ajaib kerana usianya sudah lanjut, malah badan juga tidak sekuat dulu.

"Isterinya berkata: 'Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan.'" (al-Quran, surah Hud:72)

Perkataan Ishak berasal daripada bahasa Ibrani, yang disebut Yashhak.

Baginda diberikan nama demikian disebabkan ibunya, Sarah tertawa bersendirian apabila mengetahui akan melahirkannya.

Keturunan Nabi Ishak melahirkan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Nabi Yaakub muncul ramai nabi daripada kalangan Bani Israel.

"Dan Kami kurniakan kepadanya Ishaq (anaknya) dan Ya'qub (cucunya); dan Kami jadikan dalam kalangan keturunannya orang yang berpangkat nabi dan menerima kitab-kitab agama; dan Kami berikan balasannya yang baik di dunia; dan sesungguhnya adalah ia, pada hari akhirat, dari orang yang soleh." (al-Quran, surah al-Ankabut:27)

Nabi Ishak seorang anak yang soleh kepada Nabi Ibrahim dan keberkatan yang dilimpahkan Allah ke atasnya seperti keberkatan kepada bapanya.

Baginda berilmu dan berakhlak tinggi, sentiasa mengingatkan manusia kepada akhirat.

Pada sisi Allah baginda termasuk orang pilihan lagi paling baik.

Al-Quran tidak menjelaskan kisah Nabi Ishak secara khusus, tetapi menurut riwayat pada saat Nabi Ibrahim hampir menemui ajal, Nabi Ishak mahu berkahwin.

Nabi Ibrahim tidak mahu Ishak berkahwin dengan wanita Kan'an kerana mereka tidak mengenali Allah.

Jadi, Nabi Ibrahim mengutuskan seorang hamba untuk melamar gadis di Hanan (Iraq).

Gadis yang dipilih itu bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur.

Nahur ialah saudara Nabi Ibrahim, manakala Rifqah cucu saudaranya. Ini bermakna Nabi Ishak berkahwin dengan anak kepada sepupunya.

Selama 10 tahun perkahwinan mereka, Nabi Ishak dikurniakan dua putera iaitu Iso atau Isu (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub.

Tetapi Nabi Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub.

Nabi Ishak selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan.

Kemudian Nabi Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub.

Al-Ish yang nampak keadaan itu lalu memarahi Yaakub dan mengugut saudaranya itu.

Rifqah yang menyedari kejadian berkenaan meminta kebenaran Nabi Ishak supaya Yaakub ke rumah saudaranya, Laban di kawasan Haron, Iraq.

Ini dilakukan supaya Yaakub tinggal dan berkahwin di sana dengan anak saudaranya.

Setiba di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya itu. Kemudian, dia pula ingin berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya, bernama Rahil.

Tetapi bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai'ah iaitu kakak kepada Rahil.

Yaakub berkata: "Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pak cik yang lebih cantik berbanding kakaknya."

Bapa saudaranya berkata: "Biasanya, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun."

Akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya itu (syariat yang diizinkan ketika itu).

Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kan'an (Palestin).

Yaakub berpendapat kepulangannya akan dihalang saudaranya, Al-Ish.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberikan hadiah kepada Al-Ish bagi menggembirakannya.

Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya'ir.

Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu, Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Hebron kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil.

Nabi Ishak hidup selama 180 tahun. Baginda wafat di Kananiyin dan dimakamkan di Khalil (Hebron) di al-Maghar, tempat bapanya dimakamkan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI