Ida Nerina bercerai di Hari Raya

Wednesday, October 14, 2009

Perceraian Ida Nerina



Shahrin Razali, bekas pemain drum kumpulan Black Rose, yang juga suami kepada aktres terkenal Ida Nerina didakwa telah melafazkan cerai terhadap aktres itu pada Hari Raya kedua baru-baru ini.

Ida Nerina Hussein, 45, kini sedang dirawat di PPUM, setelah cedera teruk di tulang belakang akibat terjatuh pada 21 Jun lalu di dalam rumahnya.

Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sehingga suami Ida tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.

Menurut sumber yang boleh dipercayai itu lagi, selepas Shahrin melafazkan cerai terhadap Ida, beliau telah keluar meninggalkan rumah pelakon filem ‘Susuk’ itu.

"Pada Jumaat lepas, suami Ida telah datang ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mengisi borang pengesahan lafaz cerai.

"Namun begitu, dia belum memfailkan kes cerai itu lagi," kata sumber itu.

Pada 21 Jun lalu, Ida Nerina yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim ke-7 ini telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di rumahnya.

Kemalangan itu berlaku ketika menaiki tangga di ruang tamu dalam rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 pagi.

Sebelum ini, pengurus peribadinya, Fizaruddin Harun atau Fizar menafikan khabar angin yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Fizar juga mendakwa Ida tidak mungkin terjatuh disebabkan hilang pertimbangan kerana 'mabuk' memandangkan aktres itu baru pulang dari umrah.

Katanya, Ida tergelincir lalu terjatuh apabila sedang menaiki tangga dengan tergesa-gesa.

Fizar juga turut menafikan yang Ida mungkin lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas insiden itu kerana sehingga kini doktor belum mengeluarkan laporan itu.

Ida, aktres kelahiran Middlesex, England, dan Shahrin telah berkahwin pada 2 Jun 2006. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan ini.

Pasangan ini tidak mempunyai anak manakala Shahrin mempunyai dua orang anak iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8, hasil perkahwinan pertamanya.

Petikan Mstar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI