Hidup lebih 100 tahun bakal jadi perkara biasa

Monday, October 05, 2009

Jangka hayat panjang bebankan sistem sosial

Lebih separuh daripada bayi dilahirkan di negara maju mungkin hidup sehingga berusia 100 tahun jika arah aliran jangka hayat sekarang berterusan, kata penyelidik dari Denmark.

Jangkaan peningkatan jumlah penduduk tua itu menimbulkan cabaran kepada sistem sosial dan kesihatan di negara maju berkenaan, namun penyelidik itu berkata masalah itu mampu dikurangkan kerana penduduk pada masa depan bukan saja boleh hidup lebih lama, tetapi juga mengekalkan kesihatan pada usia tua.

"Hayat yang amat panjang bukan lagi satu yang luar biasa tetapi akan menjadi kelaziman di negara maju," kata Kaare Christensen dari Pusat Kajian Penuaan Denmark dalam laporan kajiannya yang disiarkan dalam majalah perubatan Lancet semalam.

Kajian pusat Denmark itu menggunakan Jerman sebagai kajian kes. Menurut kajian itu menjelang 2050, purata penduduk Jerman lebih tua dan jumlahnya lebih kecil daripada sekarang.

Ini hanya akan bermakna jumlah pekerja yang kecil akan menanggung beban pencen dan kemudahan kesihatan yang lebih besar untuk keperluan penduduk tua.

Kebanyakan kerajaan di negara maju sedang menaikkan usia persaraan bagi menangani jumlah penduduk tua yang meningkat.

Penyelidik berkata strategi itu penting dilaksanakan dan langkah seperti meningkatkan jumlah kerja sambilan harus juga dipertimbangkan bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja.

"Jika mereka yang berusia 60 dan awal 70-an bekerja lebih banyak masa lagi, kebanyakan tenaga pekerja lain boleh mengurangkan jumlah tempoh kerja mereka," penyelidik Denmark itu berkata dalam laporan mereka.

"Hasil kajian menunjukkan tempoh bekerja lebih pendek boleh menyumbang kepada peningkatan jangka hayat dan kesihatan."

Christensen dan rakan penyelidiknya berkata peningkatan mendadak jangka hayat � lebih 30 tahun � dilihat di negara maju sejak abad ke 20.� Reuters

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI