Thai hasilkan vaksin anti-AIDS

Saturday, September 26, 2009

Buat pertama kali, satu uji kaji vaksin berjaya mencegah jangkitan virus AIDS, satu titik perubahan kepada wabak maut itu selain satu keputusan yang mengejutkan.

Para penyelidik di bandar ini hari ini memaklumkan, vaksin tersebut mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV pada kadar lebih 31 peratus dalam eksperimen vaksin AIDS terbesar di dunia yang melibatkan lebih 16,000 sukarelawan di Thailand.

"Walaupun kesannya sederhana, ia merupakan bukti pertama bahawa kita kini mempunyai vaksin pencegahan AIDS yang selamat dan berkesan,'' kata Kolonel Jerome Kim semasa diwawancara melalui telefon.

Beliau membantu mengetuai satu kajian untuk Tentera Amerika Syarikat (AS), yang membiayai kajian tersebut bersama Institut Kebangsaan Alergi dan Penyakit Berjangkit.

Pengarah institut itu, Dr. Anthony Fauci memberitahu, 'ini bukanlah usaha terakhir', namun beliau turut terkejut dan gembira dengan penemuan tersebut.

"Ia memberikan saya keyakinan tentang kemungkinan memperbaiki keputusan uji kaji ini dan mencipta vaksin AIDS yang lebih berkesan,'' katanya melalui perbualan telefon.

Biarpun kesan vaksin itu sederhana, ia masih boleh memberikan kesan yang besar.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), setiap hari seramai 7,500 orang di seluruh dunia dijangkiti HIV; dua juta orang maut akibat AIDS pada 2007.

"Hari ini menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah,'' kata Mitchell Warren, Pengarah Eksekutif Pakatan Sokongan Vaksin AIDS, sebuah kumpulan antarabangsa yang menjalankan kerja-kerja mencipta vaksin.

"Ia akan mengambil masa dan sumber- sumber dalam menganalisis dan memahami sepenuhnya data, namun ada sedikit kesangsian kerana penemuan ini akan mengubah bidang vaksin AIDS,'' katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kesihatan Thailand, Witthaya Kaewparadai berkata, pihaknya menjalankan kajian tersebut dengan menggunakan virus HIV yang biasa didapati di Thailand. Saintis menegaskan, mereka tidak pasti sama ada vaksin tersebut berkesan terhadap jenis virus HIV lain di AS, Afrika atau negara lain. - AP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI