Anak dara tua lebih mudah ditipu

Wednesday, September 23, 2009

Seorang pakar psikologi menyenaraikan empat sebab kenapa ada wanita begitu mudah terjerat dengan komplot cinta Internet yang didalangi warga Afrika sehingga akhirnya mereka ditipu.

Empat sebab itu ialah bimbang menjadi anak dara tua, tamak, mengejar kemewahan serta tidak mahu ketinggalan dalam penggunaan teknologi.

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Sumber Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fatimah Abdullah berkata, keempat-empat sikap itu menyebabkan masih ada wanita tertipu walaupun kes seumpama itu kerap didedahkan menerusi media massa.

"Semua orang hendak hidup senang, malah yang sudah bergaji besar pun mahukan rumah yang lagi besar, tak cukup dengan itu, mahu kereta juga besar, begitulah nafsu manusia yang tidak ada kesudahannya.

"Dalam hal ini, wanita yang berjaya tetapi masih bujang pasti mahukan cinta namun belum tentu ada lelaki yang berani mendekati mereka kerana status yang dimiliki,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yakin ada mangsa mudah menerima cinta lelaki bagi mengelak hidup membujang hingga ke tua.

"Kesempatan inilah yang akan diambil oleh warga asing dengan memperdaya wanita kita dengan kata-kata romantis dan janji palsu untuk tujuan memikat," jelasnya.

Kosmo! Ahad kelmarin mendedahkan dua kes mangsa penipuan warga Afrika melalui Internet. Mereka kehilangan RM25,500 selepas terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan 'kekasih' dari Afrika.

Mangsa terbabit tertipu apabila berkenalan dengan rakyat asing warga Afrika melalui Internet.

Selepas berkenalan, lelaki itu mendakwa telah menghantar bungkusan hadiah dari luar negara dan meminta mangsa menghantar sejumlah bayaran bagi melepaskan pakej itu daripada ditahan oleh pihak Kastam.

Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas barangan yang dijanjikan itu tidak diperoleh manakala 'kekasih' mereka pula gagal dihubungi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI