Kontrak keluar Islam

Sunday, August 30, 2009

Jika ingin keluar daripada kumpulan, pengikut dikehendaki mengisi borang dan menandatangani kontrak yang antara kandungannya menyebut:

“...saya tidak sanggup lagi untuk berpegang kepada al-Quran dan sunnah seperti mana yang disyariatkan ke atas saya...”

Itulah taktik halus atau perangkap yang digunakan satu pergerakan yang dipercayai mengamalkan ajaran sesat bagi mengelak pengikutnya meninggalkan kumpulan itu.

Ini kerana pemimpin kumpulan itu mendakwa hanya ajaran Islam yang diamalkan mereka adalah tulen. Oleh itu jika pengikut ingin meninggalkan kumpulan itu, mereka dianggap ‘murtad’.

Sebab itu mereka dikehendaki mengisi borang atau menandatangani kontrak yang memperakui kesediaan untuk tidak lagi berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunnah.

“Anehnya, mereka tidak kisah jika ada pengikut mahu ‘murtad’. Yang penting, siapa saja yang nak tinggalkan kumpulan perlu isi borang dan tandatangani kontrak keluar Islam.

“Jika berbuat demikian mereka tidak akan ganggu lagi tapi jika tak tandatangani kontrak, mereka akan terus mencari kita dan menuntut bayaran tertentu yang wajib dibayar oleh ahli,” kata seorang bekas pengikut kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmood, 23.

Menurutnya, pengikut yang mahu ‘murtad’ daripada kumpulan ajaran sesat terbabit diminta menghadap Ahlul Bait atau penyelia sebelum menurunkan tanda tangan di atas sekeping kertas fotostat bersaiz A4.

Selepas itu baru bekas pengikut berkenaan bebas untuk mengikut semula ajaran Islam sedia ada yang mereka gelar ‘Islam seleweng’.

“Pendekatan itu menunjukkan seolah-olah akidah seseorang dihitung atau digambarkan hanya melalui tandatangan dalam dokumen fotostat kontrak yang berharga hanya tiga sen,” katanya yang juga bekas penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Mahmood yang berpengalaman menjadi pengikut kumpulan itu kira-kira dua tahun berkata, borang Kontrak Keluar Islam akan dicetak pada bila-bila masa apabila ada pengikut mahu keluar daripada kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, ada syarat perlu dipatuhi jika mahu menurunkan tandatangan iaitu melakukannya di depan Ahlul Bait dan jika keluar tanpa melakukan kewajipan itu mereka belum dianggap ‘murtad’ lagi.

“Bagi saya, Kontrak Keluar Islam itu diwujudkan kerana mereka mahu menakut-nakutkan ahli supaya tidak meninggalkan kumpulan itu, selain menegaskan hanya Islam mereka yang betul.

“Yang menjadi masalah, apabila tidak melakukannya, nama kita akan ‘naik’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti seperti menghadiri ceramah yang memerlukan kita membayar sejumlah wang yang ada kalanya mencecah RM1,000 sebulan,” kata Mahmood.

Akibatnya, pengikut yang tidak mahu lagi terbabit dengan kumpulan itu akan ‘diburu’ untuk mendapatkan bayaran atau lebih dikenali sebagai infak bagi setiap aktiviti atau keperluan dinyatakan pemimpin tertinggi atau seseorang Ahlul Bait.

Menurut Mahmood yang kini bertaubat nasuha dan kembali mengikuti ajaran Islam sebenar, dia tidak menandatangani kontrak terbabit, sebaliknya keluar tanpa memaklumkan ketua.

“Saya keluar begitu saja kerana yakin apa yang mereka amalkan terpesong daripada Islam tulen. Pernah saya bertanya masalah asas seperti kewajipan bersolat, namun mereka gagal memberi jawapan. Kerana itu saya tidak mahu lagi bersama mereka.

“Bagaimanapun saya dimaklumkan, beberapa rakan menandatangani Kontrak Keluar Islam itu kerana tidak mahu menjadi buruan bagi melunaskan pelbagai bayaran tidak masuk akal,” katanya.

Oleh NAZARALI SAERIL

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI