Fahami Bagaimana Pinjaman Diluluskan

Friday, July 31, 2009

Biasanya jika kebuntuan wang, jalan terakhir yang menjadi pilihan kebanyakan kita adalah membuat pinjaman dari bank. Artikel ini akan mengupas mengenai bagaimana bank menilai kedudukan kewangan anda dan cara-cara untuk memperbaiki skor kredit yang sedia ada.

Sebagai ibu bapa, anda semestinya mempunyai pelbagai perancangan dalam mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Anda tentu ingin memiliki rumah dan kereta yang selesa, melihat anak-anak membesar dengan sempurna serta memastikan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti.

Oleh kerana kesemua perkara ini memerlukan perbelanjaan yang besar, maka kebanyakan ibu bapa memilih untuk membuat pinjaman bagi mendapatkan perkara-perkara tersebut. Persoalannya, adakah permohonan pinjaman anda akan diluluskan?

Menurut statistik bulanan April 2009 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah pinjaman yang diluluskan pada April 2009 ialah 24.1 bilion berbanding 29.5 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa jumlah permohonan pinjaman yang diluluskan telah menurun dan institusi kewangan semakin berhati-hati dalam meluluskan suatu pinjaman.

Sebenarnya,setiap kali anda memohon pinjaman atau kad kredit daripada bank, maklumat peribadi anda akan didedahkan kepada pihak bank. Maklumat-maklumat itu termasuklah nama, alamat, nombor telefon, maklumat pekerjaan, nombor kad pengenalan, umur, status perkahwinan dan lain-lain.

BNM mempunyai sistem yang menyimpan kesemua data kredit yang dibekalkan kepada institusi-institusi kewangan di Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Data ini merangkumi maklumat pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, kad kredit, maklumat pinjaman yang dibuat bersama rakan-rakan atau keluarga.

Dalam kata lain, sesebuah bank itu telah sedia maklum akan permohonan pinjaman atau kad kredit anda di bank-bank lain sebelum berkunjung ke bank mereka. Setiap bank mempunyai cara tersendiri untuk menilai skor kredit anda. Maklumat peribadi serta latar belakang pinjaman dan pembayaran anda membolehkan bank membuat keputusan yang sewajarnya berkenaan suatu permohonan pinjaman.

Malah, ini membolehkan mereka menarik balik sebarang kemudahan pinjaman yang telah diberikan kepada anda.

Petikan Majalah Pa&Ma

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI