Peluang jadi anak wayang

Tuesday, May 05, 2009

Apakah program Anak Wayang bakal menyamai Akademi Fantasia?

Ramai yang bertanya, bagaimana mahu merealisasikan impian mereka untuk menjadi pelakon. Jawapannya, cita-cita itu memang tidak mudah.

Melihat latar belakang pelakon-pelakon tempatan, kebanyakan daripada mereka lahir daripada dunia muzik, peragaan, pengiklanan, pementasan atau menerusi program pencarian bakat lain.

Namun bagi orang kebanyakan, impian untuk menjadi seorang pelakon sebenarnya amat sukar.

Namun, jangan berasa kecewa kerana Astro telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan program realiti pencarian pelakon baru, Anak Wayang. Melalui program itu, Astro mahu memberi peluang dan mencari pelapis baru untuk industri lakonan.

Baru menghabiskan sesi uji bakat di tiga lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam, seramai 4,000 peserta telah tampil untuk mencuba nasib. Namun, daripada jumlah itu, hanya 25 orang yang akan dipilih.

Di kalangan 25 peserta itu pula, hanya lima orang akan dipilih untuk memegang lima watak yang ditawarkan untuk drama Kecuali Cintamu yang merangkumi 50 episod. Kelima-lima peserta yang berjaya itu akan berganding bersama Nanu Baharudin, Haleeda, Mustapha Kamal, Janet Khoo, Pushpa Narayan dan Aman Shah.

Sebelum dipilih untuk menyertai produksi Kecuali Cintamu, 25 peserta itu terlebih dahulu akan menghadiri kelas dan menjalani pelbagai tugasan. Maka, bagi memastikan mereka menerima ilmu sepenuhnya, Astro telah memilih Marlia Musa sebagai guru lakonan.

Selain Marlia, Mohd. Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Che Kem diberi peranan sebagai guru skrip dan analisis.

Aktres terkenal, Fauziah Nawi pula menggalas tanggungjawab sebagai guru vokal. Hamzah Tahir pula bertindak sebagai guru olah tubuh.

"Astro percaya setiap tenaga pengajar mempunyai kelebihan masing-masing ditambah dengan pengalaman meluas dalam bidang lakonan dan persembahan pentas yang boleh dikongsi bersama peserta Anak Wayang," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada sidang media memperkenalkan tenaga pengajar program itu.

Projek mega yang menggabungkan saluran Ria (104) dan Prima (105), Anak Wayang akan ditayangkan di saluran Ria, sementara saluran Prima akan menayangkan drama yang dibintangi pemenang Anak Wayang.

Selain menyaksikan bagaimana kesemua peserta mencuba nasib menjadi pelakon, audiens akan melihat kesusahan yang dilalui oleh seorang pelakon.

"Selalunya, penonton yang menonton drama atau filem tidak mengetahui kesukaran yang dilalui pelakon.

"Menerusi program ini, diharap mereka boleh memahami. Diharap juga kami dapat melahirkan bakat yang boleh digunakan pada masa akan datang.

"Kami mahu mencari pelakon yang berbakat dan dapat memberikan komitmen serta memiliki sahsiah diri," tambah Khairul.

Memandangkan ia adalah program realiti yang membabitkan latihan di kelas dan tenaga pengajar, adakah Anak Wayang memiliki persamaan dengan Akademi Fantasia (AF).

"AF sudah popular dan orang ramai akan fikir kami akan menggunakan pendekatan sama. Namun, kami ingin mengubah persepsi itu. Tidak seperti AF, peserta Anak Wayang hanya diberikan sedikit pendedahan. Ini kerana lima peserta akan berebut satu watak dalam tempoh seminggu. Maka, mereka hanya akan diberi pendedahan selama seminggu.

"Minggu seterusnya akan melihatkan pembabitan lima peserta lain pula berebut watak lain.

"Konsepnya amat berbeza daripada AF. Kami juga akan ada undian SMS tetapi mungkin akan ditambah dengan penilaian juri. Semua itu akan ditetapkan nanti," jelas Khairul mengenai program yang dihoskan Fazura dan Rusdi Ramli.

Masih dalam proses mencari 25 peserta yang layak, ramai daripada mereka yang hadir amat berbakat terutama di Johor Bahru dan Shah Alam. Malah, separuh daripada mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia lakonan.

Bagi Marlia, peluang menjadi salah seorang tenaga pengajar program realiti Anak Wayang merupakan satu cabaran besar. Katanya, bukan senang untuk mencari seorang pelakon kerana prosesnya rumit.

"Dengan adanya program sebegini, kita dapat mencari bakat-bakat baru di luar Kuala Lumpur dengan latar belakang yang berbeza.

"Selain daripada itu, kami memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari ilmu lakonan. Bukan semua pelakon berpeluang untuk belajar menjadi seorang pelakon berkaliber.

"Pelakon yang baik perlu bijak dan seimbang selain memiliki bakat. Pengalaman hidup amat penting untuk membentuk seseorang pelakon. Maka, kepada mereka yang tidak melalui pengalaman yang pelbagai, mereka perlu peka terhadap sekeliling. Kepekaan itu boleh digunakan sebagai rujukan semasa berlakon," kata Marlia.

Oleh JESSABELL SOO

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI