Afundi Masuk bukan konspirasi

Tuesday, May 05, 2009

Konsert Akademi Fantasia minggu kelapan (AF7) yang penuh dengan elemen drama dan 'kejutan', bahkan seiring dengan tema persembahan teater muzikal termasuk mencari ikon bintang terhebat, pelajar kali ini bukan saja diuji dengan kemampuan menyanyi. Malah, elemen lakonan dan tarian juga dititikberatkan.

Tidak salah percaturan Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dan pihak produksi Astro memilih tema itu kerana baki enam peserta yang tinggal, Akim, Yazid, Hafiz, Isma, Claudia dan Aishah ternyata berusaha keras memberikan persembahan yang wajar dipuji.

Tiga naskhah persembahan teater muzikal yang cukup hebat sambutannya, Impak Maksima, P Ramlee The Musical dan termasuk yang menjadi kebanggaan Tiara iaitu Puteri Gunung Ledang turut menjadi manifestasi mengukur bakat pelajar itu.

Di sebalik kehebatan persembahan mereka, ada drama ‘sebabak’ yang disaksikan penonton termasuk rakan media selepas hos AF7, AC Mizal mengumumkan dua pelajar sekali gus tersingkir iaitu Claudia da Aishah. Tak semena-mena Tiara bagaikan tidak mempercayai keputusan muktamad itu.

Lalu, dalam kekalutan, Tiara kelihatan berbincang dengan beberapa wakil Astro. Dengan kuasa dan permintaan Tiara sendiri sebagai, satu keputusan saat akhir diambil apabila Afundi (AF) Masuk diwujudkan dan diumumkan sendiri Tiara. Sayang sekali ‘lakonan’ Tiara tidak begitu mengesankan seperti watak kesayangannya, Gusti Puteri Retno Dumilah.

Lakonannya seperti dibuat-buat dan yang pasti ‘drama’ ini jelas seperti sudah mula dirancang awal hingga timbul cakap-cakap belakang mengandaikan ia kononnya konspirasi dan gimik yang dibikin sendiri stesen TV berbayar itu. Tiara juga dilihat menjadi mangsa keadaan. Ironinya, AF Masuk bukanlah asing lagi dalam sejarah penerbitan program realiti itu.

Ia mula diperkenalkan pada musim kedua dan ketika itu Linda Nawuwil diserap masuk semula atas undian yang dibuka. Lotter juga diberi peluang kedua beraksi di pentas akhir sewaktu AF4. Mawi ketika konsert prelude AF3 dipilih masuk kembali bukan atas undian peminat (AF Masuk) tapi atas pilihan juri.

Ketika sidang media diadakan sejurus selepas selesai konsert, agak pelik apabila kelibat Tiara tidak kelihatan. Alasan yang agak lucu diberikan Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dek ketiadaan Tiara ialah pengetua AF7 itu tidak sihat dengan tiba-tiba. Gamaknya Tiara masih terkedu dan terkejut dengan penyingkiran dua peserta kelahiran Sarawak itu.

“Tiada isu di sini kerana AF Masuk sudah mula diperkenalkan sebelum ini dan atas permintaan serta kuasa yang dimiliki Tiara, ia diwujudkan kembali. Dengan ini, 10 peserta AF7 yang tersingkir termasuk Claudia dan Aishah mempunyai peluang untuk diserap kembali. Setiap pengetua AF memiliki kuasa tertentu dan salah satunya dengan apa yang sudah ditunjukkan Tiara.

“Butiran lanjut mengenai cara, syarat dan tempoh pengundian hanya dimaklumkan malam Isnin lalu menerusi diari AF7 jam 9 malam. Peluang kedua ini setidak-tidaknya membuka peluang kepada peminat untuk memilih hanya satu saja peserta yang terbaik dan layak untuk beraksi di pentas akhir AF7. Saya tekankan di sini, undilah peserta mana yang anda fikirkan sesuai dengan bijak.

“Ia bukan konspirasi atau pakatan tertentu untuk memasukkan kembali pelajar tertentu. Secara logiknya untuk konsert minggu ini (kesembilan) mungkin tiada penyingkiran dan hanya akan ada penyerapan masuk saja. Keputusan sama ada tiga atau lima finalis saja dipilih masih belum dapat diputuskan. Biarlah ia terus menjadi spekulasi dan tanda tanya,” kata Khairul yang ditemani Penerbit Eksekutif AF7, Sooraj Nair.

AF Masuk musim ini mula diperkatakan sejak tersingkirnya Aril pada konsert AF7 minggu ketujuh. Kononnya wujud pakatan untuk memasukkan kembali adik kepada penyanyi Izwan Pilus itu demi bersaing hingga ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Hakikatnya ‘drama’ dan pengumuman AF Masuk ini sudah mula dijangka akan berlaku. Kenapa perlu ada ‘drama telenovela’ yang kurang menjadi ini sedangkan pihak produksi mahu pun Tiara boleh saja mengumumkan terus bahawa AF Masuk diwujudkan. Siapa sebenarnya yang diperkotak-katikkan di sini.

Lalu, siapakah pilihan anda untuk mengembalikan perjuangan peserta yang sudah tersingkir awal ke pentas final AF7. Selain Claudia, Aishah dan Aril, peserta lain yang turut dibuka peluang untuk AF Masuk ialah Nas Adila, Rini, Obri, Zizi, Rubisa, Sidi dan Qhaud.

AF kali ini memperlihatkan tiga kali penyingkiran membabitkan dua peserta sekali gus. Bermula dengan Rini dan Obri, kemudiannya Zizi dan Rubisa diikuti Claudia dan Aishah. Menurut Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, AF Masuk memberi kebarangkalian harapan dan peluang baru untuknya menjejaki kembali AF7.

“Tipulah kalau saya cakap tidak gembira dengan pengumuman ini kerana peluang ini cukup berharga. Selama beberapa minggu saya menghampakan peminat yang setia mengundi untuk saya terus kekal hingga minggu kelapan. Sebagai membayar hutang itu, saya cuba lakukan sehabis baik pada minggu lalu (minggu tersingkir) dan harapnya pengundi akan nampak kesungguhan saya untuk terus melakukan yang terbaik,” kata Aishah.

Sementara itu, Claudia yang mendapat rawatan mencantikkan gigi seperti Aishah turut berharap akan sinar baru yang mungkin dapat menyebelahinya kelak. Katanya sambil melobi diri sendiri, dia memohon supaya pengundi di luar sana dapat mengundi dengan bijak dan pilih pelajar yang berbakat termasuk dirinya.

Oleh Zaidi Mohamad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI