Pengkritik AF7 disanggah

Monday, April 06, 2009

Drama sudah bermula pada konsert minggu keempat Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu. Bila mana kritikan dilemparkan pengkritik tetap dan undangan, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search disanggah tenaga pengajar AF7.

Tiada guna mengundang pengkritik jika tenaga pengajar berasakan pelajar mereka sudah terlalu bagus dan tidak boleh ditegur. Sesuatu yang tidak patut berlaku apabila perkara itu terjadi di hadapan dua penyanyi tersohor negara. Lebih 25 tahun Amy dalam persada seni suara tanah air sehingga digelar legenda rock negara. Sudah tentu dia lebih memahami dan mengerti apa yang berlaku serta diperlukan dalam industri hiburan negara.

Siti pula sudah menerima beratus anugerah dalam dan luar negara. Biarpun sudah berstatus isteri kepada ahli perniagaan terkenal Datuk Sri Khalid Mohd Jiwa, kehebatan Siti dalam dunia nyanyian belum ada tandingan. Konsert malam itu pula adalah tribut kepada dua penyanyi kebanggaan negara itu.

Untuk menunjukkan transformasi yang berlaku dalam AF musim ini, pelajar lelaki menyanyikan lagu Siti dan pelajar perempuan membawakan lagu Amy. Sudahlah begitu Siti dan Amy juga dijemput khas untuk mengkritik pelajar yang menyanyikan lagu mereka. Sungguh besar sekali penghargaan yang diberikan kepada mereka.

Namun akhirnya atas nama transformasi 'penghormatan' yang diberikan kepada kedua-dua artis itu tercalar apabila sedang mengkritik, tiba-tiba guru motivasi dan bahasa Inggeris, Fatimah Abu Bakar, bangun mencelah AF bukan pertandingan menyanyi tetapi mencari penghibur.

Selepas pelajar keenam, Akim (Afiq Hakim Ahmad, 19) selesai membuat persembahan, guru vokal persembahan, Siti Hajar pula dengan tegasnya memberitahu sekalian hadiran yang memenuhi dewan itu semua lagu yang dinyanyikan pelajar dipilih tenaga pengajar. Ini kerana apabila pengkritik mengatakan sesetengah lagu yang dinyanyikan tidak sesuai dengan vokal pelajar itu.

Termasuk musim ini sudah tujuh tahun AF bersiaran dan seantero Malaya tahu semua lagu adalah pilihan tenaga pengajar. Jadi apa perlunya Siti Hajar menjelaskan perkara remeh itu kepada penonton yang semestinya sudah terlalu faham peraturan di AF.

Hak pengkritik untuk mengkritik. Atas kritikan itu semaklah lagu genre apa sesuatu dengan pelajar itu. Namun bukan pula kesalahan besar jika tenaga pengajar mahu pelajarnya mencuba pelbagai genre lagu. Daripada kritikan itu, barulah pelajar itu tahu kekuatan suaranya di mana dan sesuai untuk lagu apa.

Pihak penerbitan AF7 menjemput dua artis ternama untuk mengkritik pelajar tiba-tiba pendapat mereka disanggah tenaga pengajar lalu dimanakah terletaknya kredibiliti pengkritik itu dan secara tidak langsung menjatuhkan maruah mereka. Dek kerana itu juga, pengkritik bagaikan kehilangan mood untuk menegur.

Jika tenaga pengajar 'membela' pelajar depan pengkritik sendiri, pasti ada pelajar menganggap kritikan yang diberi kepada mereka tidak penting lagi untuk mereka.

Pada sidang media yang diadakan selepas konsert itu berakhir, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata tenaga pengajar diberi peluang 'menyampuk' pada konsert itu adalah elemen baru dalam AF7.

Pada pertemuan itu juga, pengkritik meluahkan ketidak puasan hati mereka. Adlin berkata, tenaga pengajar sudah mempunyai cukup masa dalam kelas untuk mengajar jadi biarlah pengkritik melakukan tugas mereka pula.

Edrie pula menambah disebabkan itu juga, ia memberi kesan kepada kritikannya yang terpaksa mengeluarkan kata-kata yang mungkin 'menyejukkan' hati tenaga pengajar.

Amy selaku orang lama dalam industri meluahkan kata-kata yang dia hadir pada malam itu untuk memberi semangat kepada pelajar dengan memberi sedikit tunjuk ajar.

“Saya datang ke konsert ini untuk mengkritik ke arah kebaikan dan bukannya menjatuhkan pelajar. Kalau dia penyanyi bagus tetapi tidak ada apa yang dapat ditunjukkan kepada ke penonton, nescaya dia tidak akan ke mana.

“Kesudian saya ke konsert ini untuk memberi semangat kerana kalau suatu hari nanti mereka akan ikon kepada peminat,” katanya.

Tambah Siti, terimalah kritikan dengan hati terbuka.

“Kita memahami tenaga yang dicurahkan tenaga pengajar dan perasaan mereka terhadap pelajar yang dianggap seperti keluarga sendiri. Bagaimanapun, semua pihak kena faham peranan masing-masing. Saya hadir sebagai pengkritik dan menjalankan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Keseluruhannya, persembahan pelajar agak baik pada konsert itu berbanding tiga minggu sebelumnya. Barang kali juga kehadiran Siti dan Amy membuatkan pelajar bersemangat membuat persembahan. Malangnya dua pelajar yang berjaya menunjukkan peningkatan dalam persembahan, Rubisa Tiasin, 23 dan Nur Fazelah @ Zizize Mohd Tahil, 24, tersingkir.

Jelas Khairul Mizan, tiada apa yang dilakukan untuk menyelamatkan dua pelajar itu kerana AF memberi kuasa kepada jari penonton (SMS) bagi menentukan nasib mereka.

“Masalahnya meskipun pelajar perempuan dilihat lebih bagus namun undian lebih memihak kepada pelajar lelaki. Setiap tahun perkara sama berlaku,” katanya.

Benar bagai dikatakan, Mohd Qhaud Abdul Rashdi yang undinya bagaikan nyawa di hujung tanduk terselamat untuk terus berjuang pada minggu seterusnya meskipun akibat kesilapan teknikal, Qhaud terpaksa menyanyi dua kali kerana tiga kali siaran yang dipancarkan ke rumah mengalami gangguan menyebabkan suaranya tidak dapat didengar penonton di rumah.

Tahun ini juga menyaksikan transformasi apabila pelajar yang selesai membuat persembahan juga berani 'menjawab' setiap teguran pengkritik yang mana pada tahun sebelumnya, perkara seperti itu jarang berlaku. Agaknya banyak lagi kejutan selepas ini kerana mungkin itulah yang diperlukan untuk mentransformikan AF7.

Oleh Nor Akmar Samudin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI