Majlis potong jambul anak Nora-Rizal

Sunday, March 22, 2009

Pertama kali muncul di khalayak, pelakon siri popular Puteri, Nora Danish, bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli dan anak sulung mereka, Putera Rayqal Ramli kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia.

Ironinya, Nora dan Rizal sudah bercerai sejak bayi tersebut berada dalam kandungan pelakon drama itu pada 8 November tahun lalu.

Mengenepikan ego masing-masing, Nora dan Rizal semalam 'bersatu' demi meraikan majlis potong jambul putera mereka itu.

Di sebalik keharmonian majlis tersebut, adakah terselit hasrat cinta dua jiwa yang telah bercerai ikatan itu? Adakah cinta mereka boleh bertaut semula?

Profesional dan bertanggungjawab sebagai ibu dan bapa, pasangan itu sebaliknya berkata, fokus mereka kini hanya untuk Rayqal yang diharapkan membesar dengan penuh kasih sayang walaupun ibu bapa sudah tidak tinggal sebumbung.

Masing-masing masih tidak mahu bercakap tentang masa depan sendiri. Hanya kebaikan anak yang mahu dikongsikan.

"Saya belum bersedia dengan jawapan jika suatu hari nanti anak saya bertanyakan keadaan ibu bapa mereka yang tidak tinggal bersama. Itu semua bergantung kepada masa dan takdir," kata Rizal Asyram seolah-olah menyimpan sebuah harapan.


Nora pula masih bertegas dengan pegangannya akan meneruskan hidup solo. Status ibu tunggal pula bukanlah perkara mustahil bagi seorang wanita muda seperti dirinya.

"Ibu saya (Sally Talib) sendiri memberi semangat kepada saya. Dia seorang ibu tunggal kerana bapa saya meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun. Menjadi ibu tunggal dan membesarkan anak tanpa suami tidak akan jadi susah asalkan saya pandai mengatur masa dan mengawal diri," kata Nora.

Namun, mewakili anak dan bekas menantunya, ibu Rizal, Puan Sri Raja Noorasyikin Raja Abdullah tidak menafikan bahawa semua pihak dan beliau sendiri menyimpan harapan anak dan bekas menantunya itu akan bersatu semula sebagai suami isteri.

"Siapa yang tidak mahu mereka kembali bersama, tapi saya tidak mahu bercakap tentang perasaan orang lain... sudah takdir jodoh mereka sampai di situ. Kami sebagai orang tua hanya mendoakan yang terbaik dan bahagia dengan kehadiran cucu sulung kami," kata Raja Noorasyikin mengulas pertanyaan media tentang hubungan Rizal dan Nora.

Bekas bapa mertua Nora, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga bekas Menteri Besar Perak dan bekas Speaker Dewan Rakyat pula berkata, perpisahan anaknya, Rizal, dengan Nora langsung tidak menjejaskan hubungan mereka sekeluarga.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI