Hebatkah calon bintang AF7?

Saturday, March 07, 2009

Sepuluh calon pelajar wanita yang terpilih untuk musim ketujuh Akademi Fantasia (berdiri, dari kiri) Zizi, Rini, Faezah, Cabby dan Isma. Calon-calon lain ialah (duduk, dari kiri) Aishah, Rubisa, Lizda, Adila dan Claudia.

Kehangatan rancangan realiti paling popular negara, Akademi Fantasia (AF7) sudah pun bermula apabila 20 orang calon pelajarnya diumumkan baru-baru ini.

Malah, transformasi yang dijanjikan oleh Astro menerusi AF7 terlebih dahulu bermula apabila stesen televisyen berbayar itu mengumumkan barisan tenaga pengajarnya yang dilihat mampu memberikan satu kelainan untuk musim ini.

Barangkali itulah strategi Astro dalam usaha mahu mengembalikan prestij dan mutu AF setelah beberapa musim terdahulu terpaksa berdepan dengan kecaman dan hentaman daripada pelbagai pihak.

Memetik kata-kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, untuk musim ini Astro berjanji untuk 'melahirkan' seorang superstar yang disegani ramai.

Bukan untuk bersikap prejudis mahupun skeptikal, tetapi apabila melihat kepada persembahan ringkas 20 orang pelajar yang sempat memperdengarkan vokal masing-masing tempoh hari, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan persembahan mereka.

Walaupun terlalu awal untuk menilai tetapi bagi penulis, tiada seorang pun yang mampu memikat telinga dengan vokal mereka.

Mohon maaf, tiada niat untuk membandingkan mereka dengan peserta rancangan realiti American Idol, tetapi faktor pemikat itu tiada saat 20 orang calon pelajar AF7 membuka mulut masing-masing.

Apatah lagi, ada di kalangan calon-calon ini pernah menyertai rancangan realiti lain sebelum ini. Namun, mereka bukanlah pemenang sebaliknya peserta yang hanya terkandas di pertengahan jalan.

Apabila diajukan perkara ini, Khairul memberitahu, AF7 membuka pintu kepada semua yang mahu mencuba nasib meskipun mereka pernah menyertai pertandingan realiti lain.

Bukan itu sahaja, AF7 juga menyaksikan julung kalinya membuka pintu kepada warganegara Singapura dan artis yang mempunyai nama untuk menyertainya kali ini.

Malah, mereka begitu optimis dan mempunyai alasan tersendiri dengan 20 orang calon pelajar yang terpilih kali ini mampu menjadi sebagai antara artis yang terbaik.

"Saya percaya barisan calon pelajar yang terpilih musim ini mempunyai kekuatan masing-masing dan kami berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan apabila terpaksa memilih mereka yang benar-benar terbaik.

"Kami perlu berdebat sesama tenaga pengajar dan krew produksi untuk memastikan kesemua pelajar yang dipilih ini berpotensi untuk diangkat sebagai juara.

Menjadi penghibur

"Kami juga mahu mereka menjadi seorang penghibur dan bukan sekadar seorang penyanyi," jelas Khairul pada sidang media baru-baru ini.

Sepuluh calon pelajar lelaki yang terpilih untuk musim ini ialah Abraham Edwin Dungot (Ab), 26; Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18; Abdul Amim Suleiman (Amim), 21; Khairil Azam Pilus (Aril), 24; Mohd. Hafiz Mohd. Suip (Hafiz), 19; Kelana Ayu (Kelana), 40; Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24; Mohd. Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25; Mohd. Rashidi Mohamad Isa (Sidi), 27; dan Mohd. Yazid Ibrahim (Yazid), 22.

Calon bagi pelajar wanita pula adalah Nas Adila Mohd. Dan (Adila), 23; Siti Aishah Bujang (Aishah), 18; Cabrine Blaire Bernard Solibun (Cabby), 20; Claudia Fay Geres (Claudia), 24; Alpaezah Manaf (Faezah), 20; Ismaliza Ismail (Isma), 30; Lizda Nuryanti Abidin (Lizda), 27; Zuzafrini Zulkifli (Rini), 26; Rubisa Tiasin (Rubisa), 23; dan Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil (Zizi), 20.

Menariknya AF7 kali ini juga apabila enam daripada 20 orang calonnya terdiri daripada mereka yang sudah berumah tangga.

Selain itu, penyanyi Nas Adila juga berjaya menempatkan dirinya dalam senarai calon untuk musim ini. Selain itu, Izda yang juga isteri kepada pelakon Ezany serta kakak kepada penyanyi kumpulan New Boyz, Tomok iaitu Isma juga terpilih.

Seperti mana kehadiran Hairina Abdul Halim atau Mama Rina tahun lalu yang telah mencetuskan polemik baru dalam sejarah AF, musim ini juga tidak terkecuali. Seorang bapa kepada dua anak dari Bintulu, Sarawak yang dikenali sebagai Kelana Ayu turut berjaya menembusi tembok kebal AF.

Khairul juga turut memberitahu, sepanjang uji bakat dijalankan di lima buah lokasi bermula dari Januari lalu, penyertaan kali ini merupakan yang terbanyak apabila seramai 9,000 penyertaan diterima.

Daripada jumlah itu, ia dikecilkan menjadi 500 orang dan seterusnya kepada 200 sebelum pihak Astro sepakat untuk memilih 50 orang peserta yang terbaik.

"Ia merupakan satu rekod baru yang dicipta dan ia berjaya mengatasi jumlah penyertaan AF sebelum ini apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 33 peratus. Namun, ia bukanlah tiket untuk kami memilih peserta begitu sahaja tanpa memikirkan kriteria yang telah kami tetapkan.

"Musim ini kami telah lakukan saringan yang begitu ketat kerana kami mahu memilih yang benar-benar berbakat. Daripada situ, 20 orang calon telah kami pilih untuk musim ini," ujarnya lagi.

Namun begitu, bukan 20 orang calon ini akan terus diserapkan menjadi pelajar AF7. Sebaliknya, mereka harus menjalani minggu orientasi dan kem muzikal selama enam hari bermula 1 Mac lalu.

"Mereka akan dinilai berdasarkan kepada personaliti dan juga bakat sebelum memilih 12 atau 14 orang pelajar terbaik untuk menyertai AF7," kata Khairul sambil memberitahu keputusannya akan diumumkan pada 8 Mac ini menerusi rancangan Tirai Akademi Fantasia bahagian kedua.

Disoal pula tentang ketiadaan warganegara Singapura yang layak tercalon kali ini meskipun mencatatkan jumlah penyertaan hampir 500 orang, Khairul menyifatkan nasib masih belum menyebelahi rakyat republik itu.

"Seperti yang saya terangkan tadi, kami mahukan kualiti dan yang terbaik untuk musim ini seperti mana janji kami iaitu menampilkan transformasi. Bukanlah rakyat Singapura tidak bagus tetapi mungkin belum ada rezeki untuk mereka," ujarnya lagi.

Mengenai pengumuman pengetua AF7 pula, Khairul memberitahu ia akan dilakukan sewaktu siaran rancangan Diari Akademi Fantasia pada 9 Mac ini.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI