Beego dan Intan sah bercerai

Tuesday, March 17, 2009

Kemelut rumah tangga yang membelenggu pelakon dan penyanyi, Beego, akhirnya terlerai selepas dia bersetuju melafazkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Pada jam 2.57 petang, Beego atau Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, dengan nada sebak melafazkan cerai talak satu terhadap Intan Shahira Mohd Shahru, 27, isteri yang dinikahi pada 29 Disember 2007.

Ketika ditemui selepas mahkamah selesai bersidang, Beego yang hadir ditemani rakannya, tenang memberitahu dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Setakat ini saja. Saya tidak mahu panjangkan lagi kes ini dan aibkan mana-mana pihak, jadi saya putuskan untuk selesaikan saja.

“Bagaimanapun, saya berharap dapat berjumpa dan berbincang dengan dia (Intan Shahira) kerana ada beberapa perkara yang belum diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, ketika prosiding, Beego yang hanya sempat bergelar suami dalam tempoh 10 hari selepas sembilan tahun menyemai kasih, memberitahu Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin, dia bersetuju untuk bercerai secara baik.

Melalui perjanjian bersama yang sudah ditandatangani terlebih dahulu, Intan Shahira bersetuju untuk tidak menuntut apa-apa, manakala Beego meminta cincin pertunangan bernilai RM13,700 diserahkan semula kepadanya.

Beego dilihat muram sepanjang prosiding itu, hanya melihat kotak cincin dan bukan melihat dalam kotak itu sebagaimana yang diarahkan Mohd Yunus yang mahu dia memastikan ia cincin seperti dituntutnya.

Menjawab pertanyaan Mohd Yunus sama ada mereka (Beego dan Intan Shahira) mempunyai apa-apa mahu dikatakan sebelum Beego melafazkan talak, kedua-dua mereka mengatakan tidak ada.

Beego yang diwakili Peguam Syarie, Md Nor Md Din terus beredar sebaik selesai prosiding itu, manakala Intan Shahira yang hadir bersama ahli keluarganya dilihat menitiskan air mata sebelum beredar.

Pada 28 April 2008, Intan Shahira memfailkan permohonan fasakh terhadap Beego menerusi peguamnya, Marlina Amir Hamzah di mahkamah sama selepas pelakon sitkom Puteri itu memfailkan permohonan nusyuz (ingkar) terhadapnya pada 22 Februari 2008.

Beego dan Intan Shahira diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, pada 29 Disember 2007 diikuti majlis persandingan berkonsep adat Jawa di Dewan Banquet Kelab Golf Diraja Johor pada keesokannya.

Pada majlis akad nikah, Beego memberi wang hantaran RM20,000, sebentuk cincin emas putih bertatah berlian, gelang emas putih, senaskhah al-Quran dan mas kahwin RM80, manakala pihak perempuan membalas dengan sebentuk cincin titanium direka khas Tiffany.

Oleh Murni Wan Omar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI