Wan Nor Azlin tidak digam

Wednesday, December 17, 2008

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam menafikan desas-desus yang mengatakan pelakon, Wan Nor Azlin Wan Mohd. Hussain, 39, tidak dibenarkan untuk muncul di kaca televisyen dalam apa juga program khususnya di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan supaya pelakon itu digam sambil menyifatkan perkara yang berlalu dalam kehidupan Wan Nor Azlin merupakan satu titik hitam yang sudah berlalu.

"Rakan-rakan di Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) meminta saya beberapa nama yang selama ini digam oleh RTM dan bagi saya tak ada masalah kalau sebut nama Wan Nor Azlin. Bagi saya, yang dah lepas, lepaslah.

"Kementerian tak ada masalah sekiranya apa yang dilakukan oleh beliau bersesuaian dan sesiapa yang ingin mengambil beliau untuk berlakon atau menjalankan kerja-kerja dalam bidang kreatif, bidang lakonan dan sebagainya, tak ada masalah," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Wan Nor Azlin dan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez di Lobi Parlimen semalam.

Katanya lagi, Wan Nor Azlin tidak pernah digam, namun mungkin disebabkan kejadian hitam tersebut menyebabkan timbulnya stigma di kalangan penerbit dan stesen televisyen untuk tidak mengambil aktres itu berlakon.

Dalam pertemuan itu, Shabery turut memberitahu bahawa beliau dan kementeriannya tidak tahu sekiranya ada antara artis lain yang mempunyai masalah yang sama iaitu digam kecuali kesalahan yang bersifat jenayah atau dadah.

Dalam pada itu, Wan Nor Azlin yang kini sudah boleh menarik nafas lega memberitahu, selepas ini beliau berharap tidak akan timbul lagi sebarang keraguan di mana-mana stesen televisyen atau para penerbit.

"Apa yang dikelirukan selama ini telah dijelaskan oleh menteri sendiri dan saya harap lepas ini akan ada banyak peluang yang diberikan kepada saya," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI