Konflik Pierre Andre - David Teo

Saturday, December 13, 2008

Kasihan Pierre Andre, tidak habis-habis malang singgah kepada diri pemuda yang boleh dianggap berbakat besar ini. Satu demi satu tragedi menjengah kedalam hidupnya tanpa diundang.

Tidak mengenang budi. Itulah 'gerhana' terbaru yang melanda anak bujang Khatijah Tan ini yang dikatakan akhir-akhir ini sering melatah tidak tentu pasal dan bersikap egoistik.

Ini semua gara-gara Pierre dikhabar menghambur kata kesat atau dalam maksud bersesuaian, memaki individu yang pernah meloloskan diri kerdilnya ke dalam kancah perfileman, hingga selayaknya meraih status pengarah.

Dan orang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah orang kuat, selaku penerbit Metrowealth Movie Productions (MMP), David Teo.

Tidak mudah percaya bulat-bulat dengan khabar angin itu, apatah lagi laman seni di negara ini ada sahaja kuman yang membiak, lantas penjelasan David diperlukan demi mengetahui sejauh mana kebenaran itu. Kosmo! berjaya mendapatkan kenyataan David petang Khamis lalu untuk bertanya sendiri tentang perselisihan faham dengan Pierre.

KOSMO!: Dengarnya David dihambur perkataan kesat oleh Pierre baru-baru ini. Betul ke atau pun sekadar gosip?

DAVID: Saya malas nak cakap semula tentang isu ini, cuma pada saya soal cakap kesat ini memang tak patut berlaku. Betul, memang dia (Pierre) ada mengeluarkan perkataan yang tak sepatutnya kepada saya. Apa nak buat?

Apa ayat kesat itu?

Saya juga malas sebut perkataan kesat yang Pierre keluarkan. Nanti dia sendiri yang akan malu. Biarlah saya dan orang yang mendengarnya saja tahu.

Kenapa Pierre sampai hilang sabar? Atau dia diprovokasi?

Saya rasa Pierre hadapi masalah personal. Malah saya lihat dia bertindak mengikut perangai kanak-kanak yang dia amal selama ini. Selalu ikut perasaan kalau buat sesuatu perkara, tanpa memikirkan jangka masa panjang atau kesan buruknya kemudian hari. Sebenarnya saya tak pernah ambil kisah tentang perangai tak matang Pierre. Saya lihat isu ini sama macam lumrah dunia. Apabila bapa tegur si anak, tapi anaknya pula yang akan marah balik. Dunia dah hampir mahu kiamat, lagipun insiden ini dah berlaku. Saya tak boleh cakap apa lagi.

Yalah, mesti ada punca sebenar hingga perkara ini berlaku. Apa puncanya?

Masalah berpunca disebabkan salah seorang pekerja saya mempersoalkan kegagalannya menghadiri sesi script reading filem terbaru lakonannya, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC). Malah pengarah filem ini, Ahmad Idham dah beritahu kepada saya semasa sidang media sebelum ini bahawa Pierre akan datang ke script reading. Sampai saat dijanjikan, dia tak datang dan beri banyak alasan personal sedangkan selang dua hari saja lagi produksi kami nak mulakan penggambaran.

Salah seorang staf saya mula tegur dan menasihati Pierre sambil mengatakan kalau dia tak datang buat script reading dan tak beri sepenuh komitmen, kontrak Pierre boleh dibatal. Saya memang tak sempat nak tegur Pierre. Tahu-tahu saja, dia dah telefon saya dan terus cakap bahasa kesat.

Khabarnya David sendiri pada awalnya memberi kenyataan provokasi hingga Pierre dah mulai hilang sabar, lalu terus berkelakuan biadap seperti itu, betul ke?

Tidak, Pierre telefon saya cakap ikut suka hati dia saja sampai saya sendiri tak sempat cakap apa-apa lagi atau lawan balik setiap kata-kata dia.

Setelah dia puas cakap pelbagai perkara kepada saya, Pierre terus putuskan talian telefon bimbitnya. Kalau biasanya dalam perbualan ada soal jawab, namun saya sekadar sempat cakap "hello" , tapi Pierre terus cakap macam-macam dan memarahi saya pula.

Bagaimana perasaan David diperlaku begitu?

Saya anggap insiden ini diibarat Pierre bersikap budak-budak. Saya lihat sikap kurang ajar Pierre mungkin disebabkan dia alami tekanan ataupun menghadapi masalah. Perkara ini normal.

Barangkali saya tak cukup ajar Pierre dengan baik terutamanya dalam berkelakuan atau disiplin. Saya boleh diumpama sebagai bapa dalam perkara ini, cuma saya faham dunia sekarang dah jadi lain. Kemungkinan, perkara ini adalah balasan untuk saya oleh Tuhan sebab tak dapat ajar Pierre dengan baik semasa dia bersama MMP.

Akan buat sebarang tindakan?

Beginilah situasinya, cuba anda fikirkan sendiri apabila ada seorang anak yang diberi nasihat, namun si anaknya tak mahu dengar nasihat itu, malah lebih suka dengar cakap orang lain. Jadi hal sama berlaku kepada saya yang tak boleh nak buat apa-apa sekarang. Cuma saya harap Pierre dapat bertaubat, sembahyang lima kali dalam sehari dan mengingati Tuhan. Itu merupakan jalan kesedaran yang lebih tepat. Kalau kita mahu nasihatkan sesama manusia, pasti keputusan susah nak dicapai. Sebaliknya Tuhan sendiri yang dapat beri pengajaran berguna kepada manusia.

Atau ada kemungkinan David akan 'melupuskan' terus nama Pierre Andre dalam kamus MMP sendiri?

Kalau ikut latar belakang diri, saya adalah jenis individu yang tak suka ambil sesuatu perkara negatif yang berlaku sebagai personal. Saya perhatikan, orang yang sebelum ini cakap yang bukan-bukan atau kutuk saya secara belakang, akhirnya tetap jadi kawan baik saya.

Selama ini, ada kawan yang maki ataupun cuba nak menjatuhkan saya walaupun saya awal-awal lagi sudah sedar niat buruk orang itu, namun saya tetap berkawan dengan mereka.

Saya lebih suka beri kemaafan daripada benci seseorang. Tak ada sebab saya dan MMP nak gam atau gantung Pierre sebab perkara ini adalah daripada kesedaran manusia itu sendiri. Orang luar tak boleh nak paksa.

Saya anggap situasi ini sekadar biasa saja. Bukan hanya berlaku kepada Pierre, namun terjadi kepada artis lain juga. Saya tak ada rasa kecil hati.

Sebelum menutup bicara, ada apa-apa tak yang David nak cakapkan kepada Pierre atau ada sebarang nasihat untuk dia?

Harap Tuhan dapat tunjukkan kesedaran lebih cepat kepada Pierre sebab saya tak mampu nak mengajar dia dengan lebih baik. Justeru, saya cuma berserah semuanya kepada Tuhan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI